THANK YOU...

Terima kasih di atas kesudian anda melayari blog ini..

Thursday, January 27, 2011

PENGARUH TELADAN

Contoh teladan adalah nasihat turun temurun dan tidak lekang ditelan zaman. Ia tidak hilang dibawa arus kemodenan bagi mengubah tingkah laku seseorang. Teladan juga adalah anak kunci kepada kejayaan kepimpinan seseorang di tempat kerja. Pengaruh teladan berkait rapat dengan layanan dan kerendahan hati.

Petikan ungkapan Zig Ziglar di dalam bukunya yang bertajuk Something Else to Smile About “Apabila contoh teladan yang baik sudah diberikan, kita tidak perlu lagi bimbang dan memeriksa seandainya peraturan sudah dijalankan ataupun tidak. Ini kerana pelaksanaan peraturan yang konsisten sudah dimulai dengan proses teladan yang dilaksanakan oleh setiap pemimpin bawahannya. Contoh teladan sudah sebati dalam proses pengawasan”.

Ternyata, ramai yang berasa sukar untuk memberikan contoh teladan yang baik disebabkan oleh beberapa perkara antaranya termasuklah tidak tahu teladan yang bagaimana perlu diberi, takut kehilangan wibawa, takut tidak tekal seperti hangat-hangat tahi ayam, takut tidak membawa kesan dan tidak pernah cuba mencontohi orang lain yang mampu memberikan contoh teladan yang baik.

Semasa pemahaman mengenai kepimpinan dikembangkan, kekuasaan yang diberikan adalah amanah dan tanggungjawab. Oleh itu, prinsip teladan yang tekal dapat dikembangkan secara perlahan-lahan. Daripada sudut yang lain, ada persoalan sama ada orang muda mampu memberikan teladan kepada orang yang lebih tua daripada dirinya? Mengapa tidak? Sekiranya ada niat untuk mengembangkan sesama insan jangan sesekali menjadikan usia sebagai alasan hingga tidak dapat memberikan teladan kepada orang lain. Seseorang yang sedar perlunya proses pembelajaran sepanjang hayat, tetap dengan rendah hati mahu belajar daripada orang yang lebih muda daripada dirinya. Orang yang lebih tua banyak berkongsi pengalaman berharga yang belum pernah dialami oleh golongan muda. Namun, orang muda sebenarnya dapat memberikan warna tersendiri dalam mengikuti arus peredaran zaman.

Sesiapa pun boleh memberikan contoh teladan kepada orang lain. Teladan daripada pemimpin kepada pengikutnya dan pengikut kepada pemimpinnya. Yang penting bagaimanakah caranya untuk memberikan teladan?

Pemimpin yang memiliki teladan dapat mewujudkan pemimpin baru tanpa rasa disaingi. Baginya, yang penting bukannya menjadi ‘hero’ dalam hal-hal yang bersifat kekuasaan dan kelengkapan  daripada jawatan yang dipegangnya, tetapi adalah seorang ‘maestro’ yang utama di samping memikirkan bolehkah dia melakukan tugas yang dipertanggungjawabakan kepadanya? Pemimpin yang dapat memberi teladan tidak hanya memikirkan keselamatan kedudukannya sendiri tetapi sentiasa sahaja memberi teladan yang baik bagi mengembangkan pasukannya supaya menjadi lebih produktif. Malah pemimpin ini sanggup bertanggungjawab sekiranya pasukannya gagal mencapai matlamat kerja yang sudah dipersetujui bersama.

Janganlah lupa bahawa apa yang tidak anda hargai tidak akan dihargai, apa yang tidak anda ingat, tidak akan diingat, apa yang tidak anda ubah tidak akan berubah, apa yang tidak anda kerjakan tidak akan dikerjakan. Persoalannya yang sebenar bukanlah apa yang perlu dibuat, tetapi bergantung kepada kemahuan untuk melakukannya.

No comments:

Post a Comment