THANK YOU...

Terima kasih di atas kesudian anda melayari blog ini..

Friday, January 28, 2011

HIDUP ADALAH SATU PERJUANGAN!!!

Sebahagian besar manusia menganggap perjuangan hidup adalah satu beban yang memberi tekanan saban hari. Tetapi, bukankah kita diberi kekuatan sejak lahir untuk berjuang?

Kita seharusnya bersyukur kepada Tuhan kerana hingga ke hari ini diberikan kekuatan dan kesempatan untuk berjuang memenuhi keperluan keluarga, mencapai cita-cita dan berkongsi apa saja dengan orang lain. Perjuangan hidup yang di lalui menambahkan lagi makna kehidupan kita.

Pada peringkat awal, perjuangan hidup seseorang memang berat dirasakan. Namun, apabila semuanya sudah berlalu, apa yang di anggap berat terasa ringan akhirnya. Jangan sesekali mengukur dan mengeluh betapa tingginya gunung sebelum anda menakluki puncaknya kerana apabila anda tiba di puncaknya, anda akan berasa betapa rendahnya gunung itu.

George Leonard membahagikan manusia kepada empat kumpulan berdasarkan kegigihan perjuangannya iaitu tidak tekal, hangat pada peringkat awal, sukar diduga dan lambat tetapi pasti berkembang. Kita tergolong dalam kumpulan yang mana?

Pokok durian yang tumbuh dengan akar-akarnya mencengkam dengan kuat ke bumi mengambil masa yang lama pasti lebih kukuh berbanding pokok pisang apabila dilanda badai.

Seseorang yang melalui liku-liku perjuangan hidup yang berat pasti memiliki kualiti dan kecekapan yang berbeza apabila dibandingkan dengan mereka yang mencapai sesuatu dengan mudah.

Seorang pelajar yang dengan mudah mendapat keputusan baik dalam peperiksaan hanya dengan mengambil hak orang lain ataupun kerja-kerjanya dibuatkan oleh orang lain, tentu mempunyai kualiti yang berbeza dengan pelajar yang bersungguh-sungguh menghadiri kuliah dan bekerja keras.

Seorang pekerja yang dapat kenaikan pangkat dengan mudah hanya kerana rapat dengan ketua tentulah mempunyai kemahiran yang berbeza jika dibandingkan dengan pekerja yang bekerja bersungguh-sungguh untuk mendaki anak tangga tahap demi tahap.

Kita perlu berhati-hati dan mengkaji diri sendiri apabila menyedari apa yang di perolehi hari ini adalah dengan cara yang mudah. Biasanya perkara yang dapat dicapai dengan mudah tanpa perjuangan tidak dapat bertahan lama dan hasilnya sering mengecewakan. Jangan meletakkan cita-cita kehidupan yang terlalu rendah hingga mudah dicapai tanpa perlu berjuang, tetapi janganlah pula menetapkan sasaran hidup yang terlalu tinggi hingga hidupnya lebih banyak berangan-angan.

No comments:

Post a Comment