THANK YOU...

Terima kasih di atas kesudian anda melayari blog ini..

Wednesday, January 26, 2011

JUJURKAH ANDA MENILAI DIRI SENDIRI???

Orang yang bercita-cita mahu mencapai prestasi yang tinggi selalu membuat penilaian ke atas dirinya sendiri dengan satu tekad, bagaimana dia dapat menjadi lebih baik di kemudian hari. Ini adalah salah satu cara yang baik untuk mengurangkan kesilapan kerja, diterima oleh orang di sekelilingnya dan menjadi lebih produktif.

Keinginan yang tinggi dalam melakukan penilaian diri sendiri menjadikan setiap pekerja dapat bekerja sebagaimana yang dikehendaki. Kemahuan yang sungguh-sungguh dalam melakukan penilaian diri sendiri juga dapat memastikan objektif sesuatu perkara itu tercapai. Selain itu, kita dapat menemui makna setiap objektif yang di tetapkan melalui penilaian diri sendiri.

Seseorang itu dikatakan berjaya bukan kerana dia berasa sudah berjaya ataupun tujuan hidupnya sudah tercapai. Dia hanya boleh dikatakan sudah berjaya apabila orang lain mengatakan dia berjaya dan mereka juga dapat berkongsi kejayaan yang diraihnya. Jadi, kejayaan menjadi sempurna apabila orang di persekitarannya mengiakan kejayaannya dengan cara yang benar dan mereka juga dapat berkongsi manfaat yang diterima individu itu kerana dia menjadi saluran bermanfaat bagi orang lain.

Walaubagaimanapun, ramai yang berasa sukar malah enggan melakukan penilaian diri sendiri, membiarkan dirinya dewasa dalam kekurangan dan mundur dalam kematangan emosi dan rohani. Mereka menganggap tindakan menilai diri sendiri bermaksud membuka kelemahan yang dimilikinya selama ini. Lebih dahsyat lagi, terdapat banyak tanggapan serong kononnya penilaian diri tidak perlu dilakukan cukup sekadar mengampu orang-orang tertentu yang mempunyai pengaruh dan dapat mempengaruhi orang lain bagi mengiakan dan sentiasa memuji setiap tindakan yang diambil.

Pada dasarnya, kebanyakan orang suka dipuji dan disanjung. Malah ramai yang melakukan sesuatu perkara untuk minta puji. Namun, pujian yang tidak kena pada tempatnya membuat orang itu semakin tersesat dalam kesombongan dan tidak lagi dapat melihat kenyataan hidup.

Tugas kita yang terbesar bukanlah melihat apa yang nampak redup-redup di kejauhan, tetapi melakukan apa yang nampak jelas di hadapan mata. Walaupun sudah jelas kelihatan, penilaian diri sendiri perlu dilakukan kerana bimbang kita akan “membajak sawah” dalam garis yang sudah tidak lurus lagi. Setidak-tidaknya, penilaian diri sendiri akan memberi dorongan kepada kita untuk bekerja dengan lebih baik lagi. Terimalah pendapat orang lain yang menyebut keadaanmu yang sebenarnya dan lakukan penambahbaikan diri kerana tidak ada manusia yang cukup sempurna.

No comments:

Post a Comment