THANK YOU...

Terima kasih di atas kesudian anda melayari blog ini..

Friday, January 21, 2011

BENARKAH MANUSIA MENIRU PERANGAI MONYET???

Walaupun kita menolak teori evolusi  Darwin, tanpa disedari ramai di antara kita melakukan sesuatu tanpa tahu mengapa perkara itu dilakukan dan mengapa pula ada perkara yang dilarang? Sebenarnya, ramai kanak-kanak dibesarkan dengan pola asuhan yang tidak efektif dan sering menerima larangan daripada ibu bapa tanpa mengetahui sebabnya. Akhirnya mereka mencari jawapan dalam bentuk pergaulan bebas yang cenderung kearah yang negatif dan merosakkan.

Ibu bapa yang bijaksana memberi penjelasan yang seimbang ke atas sesuatu larangan hingga anak dilatih berfikir secara logik supaya tidak melanggar larangan ibu bapa.

Pemimpin yang bijaksana juga memberi penjelasan yang diterima akal ke atas sesuatu peraturan hingga seluruh pengikutnya menerima peraturan itu sebagai komitmen.

Berfikir dengan matang sebelum bertindak adalah langkah yang tepat sebelum mengambil keputusan. Dalam dunia pekerjaan misalnya, ramai pekerja hanya mengikut sahaja sebarang arahan tanpa mengetahui hujung pangkalnya. Malah lebih parah lagi, yang penting adalah mengikut arus tanpa mengetahui dari mana dan ke mana arus itu membawa dirinya? Dia ibarat ikan mati yang hanyut dibawa arus. Ini adalah kerana ikan yang hidup tetap dinamik, berenang sambil ‘menari’ di gigi air yang mengalir, bahkan kadang-kadang melawan arus. Hanya mereka yang mati rohani, mati mental dan hati nurani yang beku sahaja mengikut arus yang ada dalam sesebuah organisasi, terutamanya arus yang berunsur negatif.

Ada satu fenomena menarik mengenai pokok buluh bagi menggambarkan senario berkenaan. Seperti yang kita ketahui, pokok buluh yang tegak lurus lebih cepat dipotong bagi digunakan untuk dibuat pagar ataupun kegunaan lain. Namun, pokok buluh yang bengkok dibiarkan sahaja tumbuh terus dalam kebengkokannya.

Kehidupan manusia nampaknya cenderung ke arah fenomena pokok buluh itu. Mereka yang lurus bendul dan berjalan di atas landasan yang benar, lebih cepat dipotong (dipencilkan) berbanding mereka yang bengkang-bengkok.

Malangnya, ramai individu yang terjebak dalam cara kerja yang bertindak sebagai Pak Turut hanya kerana mahu menyenangkan hati pemimpin, hingga prinsip hidupnya menjadi tidak jelas bahkan turut mengetepikan nilai-nilai moral. Perlu dibezakan antara hati dan motivasi yang jujur dalam melakukan semua itu dan tetap mengutamakan nilai-nilai kehidupan. Melayan orang lain tidak salah apalagi pemimpin. Namun, seandainya dorongan melayani orang lain itu kerana ada kepentingan yang mahu dicapai seperti “ada udang di sebalik batu”, maka perbetulkanlah niat dan tujuan berkenaan.

Manusia diciptakan dengan memiliki akal fikiran. Jadi, akal fikiran itu perlu digunakan bagi menilai dorongan emosi. Oleh sebab itu, kematangan seseorang bukan dinilai betapa kuatnya dia menghentam meja, betapa gagahnya dia menumbuk seseorang tetapi bagaimana kuatnya dia boleh mengendalikan emosi diri dalam apa jua keadaan.

Pada dasarnya, manusia lebih suka menceritakan keburukan orang lain berbanding kebaikannya. Hampir semua konflik antara satu sama lain bermula dengan prasangka buruk. Apa yang menghairankan, semua tanggapan buruk kadang-kadang diterima mentah-mentah daripada orang lain tanpa usul periksa. Seperti monyet, kadang-kadang manusia pun begitu juga. Dia menyampaikan maklumat buruk (gosip) mengenai diri seseorang kepada orang lain tanpa tahu keadaan yang sebenarnya. Kita bukannya monyet tetapi manusia yang punya akal dan fikiran. Ada baiknya kita mengambil keputusan untuk tidak menyebarkan maklumat negatif kepada orang lain  dengan kesedaran yang kita ciptakan dengan nilai-nilai luhur sebagi manusia.

Daripada sudut lain, bagi mengubah sesuatu yang sudah lama bertapak, tentu mereka menjawab “Tidak tahu, memang dari dahulu pun sudah begitu!”. Menjadikan sesuatu kisah itu sebagai teladan bagi mengubah sesuatu dalam persekitaran kerja adalah sesuatu yang baik. Namun, andai senario berkenaan dijadikan alasan untuk melakukan penambahbaikan, tentu ia menjadi fenomena yang sudah wujud sejak dahulu lagi tanpa ada usaha untuk melakukan penambahbaikan yang positif. Monyet melakukan sedemikian kerana ia adalah haiwan. Manusia pula adalah makhluk yang mempunyai akal fikiran. Dia sepatutnya wajar mengambil risiko tahap sederhana dan berani melakukan sesuatu dengan alasan-alasan yang logik.

No comments:

Post a Comment