THANK YOU...

Terima kasih di atas kesudian anda melayari blog ini..

Wednesday, April 13, 2011

HARGA DIRI

Walaupun harga diri merupakan satu istilah yang sering digunakan, ramai orang tidak mengetahui pengertiannya yang sebenar. Sesetengah orang percaya bahawa harga diri tinggi melibatkan perasaan tinggi diri dan kesempurnaan. Sebahagian pula percaya kepopularan dan kekayaan kebendaan dapat menjamin harga diri seseorang. Kebanyakan pakar umumnya bersetuju bahawa harga diri ialah penilaian keseluruhan diri seseorang sama ada secara positif atau negatif. Harga diri ialah perasaan menyeluruh seseorang tentang keterampilan diri dan nilai diri. Keterampilan diri ialah keyakinan diri dan kepercayaan bahawa seseorang itu berupaya menghadapi cabaran utama kehidupan. Nilai diri pula ialah menerima diri anda tanpa syarat dan mempunyai perasaan layak untuk hidup serta mencapai kebahagiaan.

Orang yang mempunyai harga diri tinggi umumnya yakin akan diri mereka, terarah kendiri, tegas, ghairah mengemukakan idea, penyayang dan mudah disayangi, asertif serta dapat bergaul dengan mesra. Mereka juga menerima diri mereka tanpa syarat, tahan akan kekecewaan dengan baik dan rela mengambil risiko terhitung. Orang yang mempunyai harga diri tinggi mengakui kelemahan mereka dan sentiasa berusaha setakat yang boleh untuk memajukan diri. Menurut Morris Rosenberg, “Orang yang tinggi harga dirinya cenderung untuk bebas daripada keangkuhan atau rasa benci akan orang lain atau menunjukkan dengan jelas tingkah laku lain yang kita kaitkan dengan idea tinggi diri”.

Orang yang mempunyai harga diri rendah umumnya adalah pemalu, pesimistik, takut mengambil risiko, tidak asertif, tidak tegas, berasa tidak mudah disayangi, kurang penerimaan diri dan bersifat toksik dalam perhubungan dengan orang lain. Oleh sebab benci diri, orang yang rendah harga diri lazimnya suka menyindir, berasa geram akan pencapaian tinggi orang lain dan tidak mungkin dapat melihat kebaikan orang lain. Sesetengah daripada tanda harga diri rendah yang dapat diukur ialah melalui bukti verbal, bercakap besar berlebihan, jarang menentang mata orang lain, sentiasa mengharapkan persetujuan orang lain, enggan melahirkan idea, depresi kronik dan mudah dipengaruhi oleh orang lain.

Harga diri yang tulen adalah berlandaskan realiti. Ia tidak boleh dicapai dengan hanya menyebutkan perangsang harga diri atau pengesahan tertentu. Seseorang tidak boleh memperoleh harga diri tulen dengan hanya menyebutkan setiap hari “Saya adalah seorang yang istimewa” atau menjadi ahli kumpulan tertentu dengan harapan memperkukuhkan perasaan nilai diri.

Harga diri tulen sebenarnya diperkukuh menerusi penilaian diri yang realistik dan tepat, pencapaian yang bermakna, kejayaan mengatasi rintangan dan mempraktikkan amalan tertentu seperti bertanggungjawab 100% ke atas kehidupan serta tindakan diri sendiri dan mengekalkan integriti yang dapat mencetuskan perasaan keterampilan dan nilai diri. Ironinya, harga diri tulen adalah berteraskan pandangan realistik seseorang tentang diri sendiri dan bukannya khayalan atau pujian yang tidak wajar.

Harga diri yang tidak berlandaskan realiti ditakrifkan oleh Nathaniel Branden sebagai harga diri pseudo – berpura-pura  mempunyai perasaan keyakinan diri dan hormat diri. Seperti dinyatakan oleh Branden, harga diri pseudo adalah satu muslihat tidak rasional serta bersifat melindungi diri yang bertujuan menyusutkan kerisauan dan memberi perasaan selamat yang palsu. Orang sering kali berusaha memperoleh harga diri pseudo menerusi kepopularan, prestij, kekayaan kebendaan dan lain-lain lagi.

1 comment:

  1. Harga diri itu sesungguhnya apakah diri kita ini berharga bagi orang lain, itulah sesungguhnya harga diri itu, apabila diri kita berharga bagi orang lain maka terangkatlah martabat diri kita,
    Kita bisa memberikan harga kepada diri kita dengan jalan ketika sesorang butuh pertolongan, kita segera datang menolong orang itu walaupun sedikit ( sesuai kemampuan kita ), baik itu tenaga, pikiran, pengorbanan dll. Itulah yang bisa memberi harga diri buat kita, jadi bukan masalah gengsi, semua berpulang kepada diri kita, itulah cara kita memberikan harga kepada diri kita.

    ReplyDelete