THANK YOU...

Terima kasih di atas kesudian anda melayari blog ini..

Wednesday, April 20, 2011

KESEDARAN DIRI

Kesedaran diri atau mengenali anda yang sebenarnya merupakan langkah penting ke arah kehidupan yang lebih berjaya dan bahagia. Ramai antara kita telah menjadi mangsa kepercayaan salah yang kita anggap sebagai benar. Akibatnya, perasaan keterampilan diri dan nilai diri kita telah terjejas. Terdapat juga orang yang telah menjadi mangsa zaman lampau yang negatif. Kegagalan diperbesar-besarkan manakala kekuatan atau kelebihan mereka tidak diendahkan.

Kesedaran diri ialah proses yang membolehkan individu menyedari akan sesetengah aspek realiti yang berkaitan dengan diri sendiri. Ia melibatkan pemfokusan minda kita kepada pemerolehan kebenaran dan tidak menolak realiti yang pahit. Kita sanggup tunduk kepada pengetahuan baru atau fakta.

Kesedaran diri juga meliputi penilaian diri yang tepat. Dengan mengetahui kebenaran, anda akan bebas daripada belenggu kepercayaan salah yang kerap kali menghakis aras harga diri anda dan menghalang anda daripada menggunakan potensi sebenar anda. Anda tidak dapat mengubah pengalaman lampau anda tetapi anda boleh mengubah perasaan anda terhadapnya. Pada hakikatnya, kehidupan yang sebenar ialah mencari kebenaran secara sedar dan mengeksploitasinya untuk melayari kehidupan yang lebih bermanfaat dan memuaskan hati.

Semua perubahan bermula dengan kesedaran. Untuk mengubah diri anda, terlebih dahulu anda perlu mengenali siapa anda yang sebenarnya dan mengetahui situasi semasa tentang diri anda. Kesedaran diri juga mendedahkan kepercayaan dan tingkah laku anda yang sedia ada. Anda perlu memahami mengapa anda berfikir serta bertindak seperti sekarang. Lebih penting lagi, kesedaran diri berupaya membebaskan anda dari belenggu kepercayaan yang salah melalui makrifat atau pemerolehan kebenaran. Ia juga membolehkan anda mengambil inventori tentang kekuatan anda yang dapat membuka jalan untuk menawan puncak baru. Akhirnya, kesedaran diri dapat memperjelaskan hala tuju  kehidupan anda.

Kebanyakkan orang tidak mengetahui diri mereka yang sebenar. Mereka memperbesarkan kelemahan mereka dan tidak mengendahkan kekuatan atau kelebihan yang mereka miliki. Tanggapan yang herot tentang diri sendiri membawa kepada perasaan serba kekurangan dan nilai diri yang rendah. Oleh itu, anda hendaklah mengetahui diri anda yang sebenar dan menggunakan bakat serta kebolehan anda sepenuhnya. Anda tidak sempurna tetapi anda pasti mempunyai bakat serta keistimewaan tertentu.

No comments:

Post a Comment