THANK YOU...

Terima kasih di atas kesudian anda melayari blog ini..

Friday, April 29, 2011

MENERIMA DIRI SENDIRI TANPA SYARAT

Kebanyakan kita menganggap diri serba kekurangan dan tidak disayangi akibat pelaziman negatif pada zaman kanak-kanak, harapan yang tidak realistik dan pola kepercayaan yang negatif. Penerimaan diri ialah tunjang harga diri. Harga diri tulen terpancar daripada penerimaan dan persetujuan dalaman. Bagi meningkatkan harga diri, kita hendaklah belajar untuk menerima diri sendiri tanpa syarat dan mempunyai perasaan belas kasihan terhadap diri sendiri. Penerimaan diri ialah menyayangi diri sambil mengakui kekurangan atau kelemahan sendiri. Tegasnya, penerimaan diri ialah menerima diri sendiri tanpa syarat. Ia melibatkan penerimaan realiti dan mempunyai hubungan yang harmonis dengan diri sendiri.

Don E.Hamachek menghuraikan penerimaan diri yang sihat sebagai berikut, “Beginilah saya dilahirkan, beginilah rupa saya dan inilah yang saya ada. Saya akan ubah apa yang boleh , terima apa yang saya tidak boleh ubah dan laksanakan apa yang perlu saya lakukan untuk menjadi yang terbaik mengikut kemampuan saya”.

Perlu diingat bahawa penerimaan diri tidak bermaksud menafikan atau menidakkan sebarang kekurangan dan kelemahan diri sendiri. Penerimaan diri juga tidak menolak keperluan untuk berubah dan memajukan diri. Sesungguhnya kita hanya boleh berubah setelah kita menerima hakikat keadaan diri yang sebenar.

Penerimaan diri ialah prasyarat untuk mempertingkatkan harga diri seseorang. Ia memudahkan perubahan dalam proses kemajuan peribadi. Seseorang tidak dapat mengubah trait negatif yang ada padanya jika dia menafikan hakikat sebenar. Kita memiliki fitrah yang berbeza. Kita dilahirkan dalam pelbagai saiz, bentuk dan warna kulit. Setiap orang adalah unik. Kita mempunayi bakat tersendiri. Oleh itu, berusahalah untuk mengoptimumkan potensi diri dan bukannya bersaing dengan orang lain. Berhentilah berfikir untuk menjadi orang lain dan mulalah menyayangi diri sendiri. Walaubagaimanapun, membuat perbandingan dengan orang lain secara positif boleh dilakukan, iaitu untuk memperbaiki diri sendiri atau untuk merangsang diri demi mencapai kejayaan yang lebih besar.

Janganlah berharap untuk menjadi seorang yang sempurna kerana tidak ada apa-apa pun dalam kehidupan ini yang benar-benar sempurna. Orang yang terlalu mengejar kesempurnaan akan menjadi musuh kepada dirinya sendiri kerana mereka cenderung mengabaikan kekuatan atau kelebihan mereka sebaliknya membesar-besarkan kelemahan mereka.

No comments:

Post a Comment