THANK YOU...

Terima kasih di atas kesudian anda melayari blog ini..

Tuesday, May 3, 2011

KEYAKINAN DIRI

Keyakinan diri kerap kali memisahkan antara kejayaan dan kegagalan dalam kehidupan. Menurut Ralph Waldo Emerson, “rahsia utama kejayaan adalah kepercayaan yang kukuh terhadap diri sendiri”. Malangnya ramai orang yang kurang yakin pada diri sendiri dan ini menghalang mereka daripada mencapai prestasi unggul dalam kehidupan mereka.

Keyakinan diri ialah kepercayaan yang kukuh terhadap keupayaan diri sendiri untuk mencapai cita-cita tertentu. Ia merupakan suatu sikap atau kepercayaan yang membolehkan individu mempunyai pandangan yang positif dan realistik tentang diri dan situasi mereka. Keyakinan diri lazimnya terpancar jelas melalui sikap optimistik, asertif, berani, minat yang mendalam, berdikari dan kebolehan menangani kritikan.

Orang yang berkeyakinan diri percaya sungguh-sungguh yang mereka mempunyai kebolehan untuk menangani situasi mencabar dengan jayanya. Walaubagaimanapun, mempunyai keyakinan diri tidak bermakna bahawa setiap individu itu akan mencapai kecermalangan dalam semua bidang kehidupannya. Orang yang berkeyakinan diri bukanlah orang yang mementingkan kesempurnaan, mereka mempunyai harapan yang realistik berdasarkan kekuatan dan kelemahan mereka yang unik itu. Lebih penting dari itu, mereka melihat kegagalan sebagai rintangan sementara atau pengalaman dan pembelajaran.

Keyakinan diri memberikan kuasa dalaman kepada individu untuk mengoptimumkan bakatnya dan mengeksploitasikan setiap peluang yang hadir. Ia juga memungkinkan individu menetapkan matlamat-matlamat yang mencabar, menerajui kehidupan sendiri dan mengambil risiko terhitung dalam mengejar kecermalangan.

Tahap keyakinan diri seseorang dicorakkan oleh faktor-faktor luaran dan dalaman. Faktor-faktor  luaran ialah faktor persekitaran seperti signifikan pengaruh orang lain manakala faktor-faktor dalaman ialah faktor yang dijana sendiri oleh individu seperti kepercayaan kendiri dan pencapaian peribadi. Penyelidikan menunjukkan bahawa pola membesarkan anak-anak mempunyai kesan yang utama terhadap perkembangan keyakinan diri. Tingkah laku keibubapaan yang menggalakkan perkembangan keyakinan diri di kalangan anak-anak termasuklah seperti mengamanahkan anak-anak untuk melaksanakan tugas yang spesifik dan mencabar, membimbing anak-anak untuk menetapkan matlamat-matlamat yang realistik, memberi maklum balas yang membina tentang prestasi semasa anak-anak, mentoleransi kesilapan-kesilapan yang dibuat oleh anak-anak, memuji anak-anak atas pencapaian mereka, melayan setiap anak sebagai seorang individu yang mempunyai bakat serta personaliti tertentu serta menggalakkan anak-anak supaya bergantung pada diri sendiri.

Ramai orang kurang yakin terhadap diri mereka akibat pengalaman negatif seperti prestasi akademik yang rendah, kurang pengetahuan, kemahiran berkomunikasi yang lemah, interaksi sosial yang terhad, input negatif dari persekitaran, takut akan kegagalan dan nilai kepercayaan kendiri yang negatif. Sesetengah orang terlalu banyak memikirkan kegagalan dan kekecewaan masa lampau. Mereka menganggap diri mereka sebagai tidak bernilai.

No comments:

Post a Comment