THANK YOU...

Terima kasih di atas kesudian anda melayari blog ini..

Wednesday, May 11, 2011

MALU

Perasaan malu merupakan fenomena yang biasa dan meluas. Hampir semua orang pernah berasa malu pada satu ketika dalam perjalanan hidup mereka. Penyelidikan menunjukkan bahawa kira-kira empat orang dalam sepuluh yang kita temui adalah pemalu dan lebih kurang 25% daripada kita adalah pemalu kronik.

Tahap perasaan malu adalah berbeza antara individu. Bagi sesetengah orang, perasaan malu itu hanya terbatas pada beberapa situasi sosial sahaja. Bagi yang lain pula, perasaan malu menjadi masalah utama. Mereka berasa tidak selesa berada dalam majlis sosial dan menjadi cemas apabila berada bersama-sama dengan orang yang tidak betul-betul dikenali.

Pada umumnya, perasaan malu dianggap sebagai satu bentuk kerisauan sosial apabila seseorang mengalami pelbagai perasaan daripada risau sedikit apabila bersama dengan orang lain hingga berasa takut akan orang. Bagi kebanyakan pemalu, perasaan malu hanya terbatas kepada situasi spesifik seperti berbicara di khalayak ramai dan orang-orang yang tidak dikenali, dengan golongan berlainan jantina dan dengan orang atasan. Dalam kes-kes ekstrim, orang yang mempunyai perasaan risau sosial beranggapan bahawa orang lain sengaja hendak mengejek mereka atau hendak mendedahkan kekurangan mereka. Mereka juga takut berkelakuan bodoh di hadapan orang lain.

Tingkah laku yang berkaitan dengan perasaan malu ialah keengganan untuk berbual, tidak dapat membuat ucapan, sukar untuk menentang mata orang yang sedang bercakap dengannya dan tidak berani menonjolkan diri. Gejala fizikal perasaan malu termasuklah tangan yang berpeluh, debaran jantung, badan menggeletar, muka menjadi merah dan mulut kering. Orang yang malu juga mengalami perasaan keaiban, tidak berkeyakinan diri dan rasa rendah diri. Mereka terlalu memikirkan tentang ketidakselesaan dan kekurangan mereka di samping bimbang akan perasaan orang lain terhadap mereka.

Perasaan malu hendaklah dibezakan dengan sikap tidak suka bergaul yang ditakrifkan sebagai lebih suka bersendirian. Perasaan malu sebaliknya ialah tindak balas yang tidak selesa ketika berada di kalangan orang yang tidak dikenali atau rakan-rakan biasa. Seseorang yang bukan pemalu mungkin tidak suka bergaul dengan orang lain. Begitu juga, seseorang mungkin berasa malu walaupun dia bukan jenis yang tidak suka bergaul.

Sebab-sebab perasaan malu yang spesifik berbeza antara individu. Sesetengah pakar psikologi mempercayai bahawa sebab asas perasaan malu ialah kekurangan kemahiran sosial. Orang yang malu tidak tahu bagaimana hendak memperkenalkan diri mereka dan memulakan perbualan, mempunyai bahasa gerak-geri yang kurang baik dan tidak pula asertif. Ringkasnya, mereka tidak menguasai cara berinteraksi dengan berkesan. Selain itu, antara punca utama perasaan malu ialah kerisauan yang berpunca daripada harga diri rendah, pelaziman zaman lampau yang negatif atau pengalaman yang pahit. Penyelidikan menunjukkan bahawa perasaan malu dan harga diri yang rendah adalah seiring. Menurut teori, orang yang malu takut disisihkan oleh orang lain.

Kebanyakan orang yang malu menganggap perasaan malu sebagai trait yang tidak diingini. Seperti yang dinyatakan oleh Philip G. Zimbardo, perasaan malu menyebabkan anda sukar untuk menemui orang baru atau menjalin persahabatan baru, menghalang anda menyatakan hak, pendapat dan nilai anda, menghadkan penilaian positif tentang kekuatan peribadi anda oleh orang lain dan lazimnya membawa kepada perasaan murung, risau serta kesunyian yang negatif.

No comments:

Post a Comment