THANK YOU...

Terima kasih di atas kesudian anda melayari blog ini..

Wednesday, May 22, 2013

CINTAKU DI SANA, JODOHKU DI SINI



Cintaku terlakar nun jauh di sana
Berputik mekar harum semerbak menusuk jiwa
Impian tersulam indah mengundang rasa bahagia
Hati teguh menepis dugaan datang menyapa
Kaki mengorak langkah memburu impian bersama
Tapi sayang semuanya hanya untuk seketika
Mahligai cinta berkecai hanya sekelip mata
Tanpa mampu kewarasan akal untuk menduga
Sudah suratan takdir tertulis sedemikian rupa
Sampai masa untuknya bertemu dengan Pencipta
Membuatkan hatiku luka menanggung seribu lara
Dunia yang bercahaya terasa gelap gelita
Langkah menjadi longlai hilang arah seketika
Namun aku redha dengan semua ketentuan-Nya
Dugaan hadir menguji  keteguhan iman didada
Mengajar erti ketabahan agar kekuatan tercipta
Tanpa ada rasa kesal bersarang dijiwa
Hidup mesti diteruskan selagi masih bernyawa
Akan tersimpan rapi seluruh himpunan cerita
Terpahat sebagai kenangan indah untuk selamanya

Jodohku tersurat sejak azali di sini
Hadirnya tanpa sedar dalam sebuah mimpi
Mencipta sejuta tanda tanya dalam sanubari
Membuatkan aku tertunduk bisu muhasabah diri
Langkah bermula untuk mencari makna pelangi
Tersingkap akhirnya rahsia misteri yang menyelubungi
Tanpa perlu meredah ranjau onak berduri
Hatiku berlagu riang dan senang sekali
Pasti semuanya adalah limpahan Rahmat Ilahi
Kerana hanya Dia yang Maha Mengetahui
Sentiasa sudi mendengar rintihan setiap insani
Semua yang terzahir mahupun segala tersembunyi
Agar aku tidak tersungkur menyembah bumi
Moga aku yakin tentang hikmah menanti
Supaya aku sentiasa bersyukur setiap hari
Atas sinaran mentari menerangi kegelapan hati
Dengan cahaya rembulan memadam keresahan hati
Untuk aku mengenal erti cinta sejati
Mencari damai lakaran bahagia episod duniawi
Menjadi platform destinasi ukhrawi yang abadi

Mengertilah ku kini tentang hakikat duniawi
Cinta tidak semestinya kita akan memiliki
Kerana jodoh sudah tersurat sejak azali
Kenapa harus mempersoalkan itu dan ini
Menghitung satu persatu untuk menyedapkan hati
Mencongak sesuatu yang tidak mungkin terjadi
Belajarlah untuk hidup dalam alam realiti
Bukannya hanyut dipukul ombak fantasi sendiri
Tiada gunanya untuk mempersoalkan takdir Ilahi
Ikhtiar dan perbuatan hanya menyampaikan diri
Selebihnya hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui
Kita merancang Tuhan menentukan apa terjadi
Kekerdilan insan memang jelas telah terbukti
Moga coretan ini membuka pintu hati
Menjadi mutiara maknawi bagi yang mengerti
Menyinari kegelapan yang menyelubungi ketika pagi
Memayungi titisan hujan di tengah hari
Mengalunkan melodi indah ketika berteman sunyi
Agar tabah menghadapi ujian yang menanti
Redha dengan semua ketentuan takdir Ilahi