THANK YOU...

Terima kasih di atas kesudian anda melayari blog ini..

Monday, April 18, 2011

IMEJ DIRI

Faktor terpenting yang mempengaruhi harga diri ialah imej diri. Imej diri merupakan gambaran mental tentang diri seseorang atau siapa kita fikirkan diri kita. Menurut Maxwell Maltz, imej diri ialah “tanggapan anda sendiri tentang jenis orang yang sebenar adalah anda”.

Sebahagian besar imej diri anda telah dicorakkan oleh tanggapan masa lampau, kejayaan dan kegagalan, bagaimana anda dinilai oleh orang lain serta pengetahuan yang diperoleh. Kita kerap kali melihat diri sendiri sebagaimana orang lain melihat kita berdasarkan prinsip penilaian terpantul.

Anda menjadi apa yang anda paling kerap fikirkan. Apa sahaja yang lazim anda fikirkan akhirnya terpahat dalam minda separa sedar anda. Apa-apa pun yang dipercayai sebagai benar oleh minda separa sedar anda, minda separa sedar anda akan menerima dan membawanya ke tahap realiti.

Penyelidikan menunjukkan bahawa personaliti kita ialah manifestasi zahir imej diri kita. Semua tindakan dan perasaan kita selalunya sejajar dengan imej diri. Anda sebenarnya akan bertindak sebagai orang yang anda percayai adalah anda. Sebenarnya, imej diri kita ialah juruterbang automatik atau sistem panduan automatik yang memandu atau memprogramkan kita ke arah kegagalan atau kejayaan. Imej diri kita mempengaruhi tingkah laku kita. Tingkah laku kita pula mempengaruhi prestasi kita. Prestasi kita akhirnya memperteguhkan imej diri kita.

Imej diri yang positif juga mengoptimumkan personaliti dan keupayaan seseorang, ia memberi kuasa dalaman kepada individu untuk mencapai matlamat-matlamat yang diingini. Kepercayaan positif menghasilkan endorfin yang mencetuskan keghairahan dalam diri seseorang.

Imej diri juga menentukan batas pencapaian seseorang, apa yang boleh dan tidak boleh anda lakukan. Anda terbatas hanya oleh batasan imej diri anda. Ramai orang gagal mencapai kejayaan yang besar dalam kehidupan kerana imej diri yang negatif dan bukan kerana kekurangan kemampuan atau bakat. Orang yang mempunyai imej diri yang negatif lazimnya akan mempunyai harga diri yang rendah. Oleh itu, mereka berasa tidak layak untuk hidup serta tidak kompeten untuk menangani cabaran asas kehidupan. Imej diri mereka yang rendah menapis sebarang mesej positif iaitu sebarang idea yang tidak konsisten dengan imej dirinya akan ditolak.

Ramai orang, terutama mereka yang mempunyai harga diri rendah telah menjadi mangsa pemprograman lalu berdasarkan input negatif daripada orang lain. Ramai yang mempunyai imej diri yang herot iaitu tidak mencerminkan potensi sebenar mereka. Kebanyakkan orang memandang rendah diri sendiri dan berasa rendah diri berbanding orang lain. Terlalu ramai diantara kita juga yang risau tanpa sebab. Pendek kata, kita telah menjadi musuh terburuk diri sendiri dengan memendam imej diri negatif.

No comments:

Post a Comment