THANK YOU...

Terima kasih di atas kesudian anda melayari blog ini..

Tuesday, January 18, 2011

NILAI SEBUAH PUJIAN

Kata-kata yang membangun dan menghargai orang lain dengan ikhlas, dapat memberi kekuatan luar biasa kepada seseorang, seterusnya mengubah hidupnya. Begitu jugalah sebaliknya. Lidah yang kecil dapat mengguris luka yang dalam di hati ataupun menumbuhkan harapan hidup yang lebih baik.

Ada antara kes-kes cubaan untuk membunuh diri dapat dihalang hanya dengan menggunakan kata-kata membangun dan memberikan harapan tinggi bagi melihat masa depan dengan segala peluang yang dapat diraih. Seorang pekerja yang bercadang untuk berhenti kerja membatalkan niatnya hanya kerana mendengar kata-kata membangun dan memotivasikan dirinya. Demikianlah juga sebaliknya. Kata-kata yang mengejek, merendah-rendahkan serta menghina akan merencatkan motivasi seseorang, malah dapat membunuh masa depannya.

Bruce Barton pernah berkata “Sama ada baik ataupun buruk, percakapan anda adalah iklan diri anda. Setiap kali anda berkata-kata, anda membiarkan orang lain menilai anda. Tutup mulut anda dan orang lain tidak tahu betapa ceteknya pengetahuan anda. Buka mulut anda, kecetekan pengetahuan anda tidak diragui lagi”.

Kata-kata yang didengari masuk ke dalam peti ingatan jangka pendek. Seandainya ia diucapkan berulang kali, ia masuk ke dalam peti ingatan jangka panjang. Apabila perkara ini berlanjutan dan menjadi kebiasaan, kata-kata yang didengari itu masuk ke dalam alam bawah sedar dan ini sukar untuk dihilangkan. Itulah sebabnya mengapa kita perlu berhati-hati apabila mahu mengucapkan sesuatu, bergurau senda atau memperlekehkan orang lain. Ini kerana, sekiranya perkara itu tidak dihentikan dan sering pula didengari orang berkenaan, ia akan mengubah sikap dan tingkah lakunya.

Penapis yang menyaring hal-hal yang baik tidak sekukuh tamparan ucapan yang didengarnya. Sebagai contoh, ibu bapa yang sering mengatakan anaknya, “tidak berguna”, “tidak sedar diri” ataupun mungkin kata-kata cemuhan lain, meninggalkan kesan pada sikap dan bagaimana anak itu memandang dirinya. Hal ini juga mempengaruhi konsep dirinya dan pandangannya kepada ibu bapa. Sebaliknya, ibu bapa yang selalu memberi pujian, senyuman dan kata-kata semangat, mendorong anaknya menemui dan meneroka potensi dirinya sendiri. Pilihan ada dalam diri kita dan kesannya pun pasti kembali ke dalam diri kita juga.

Memberi pujian dan penghargaan kepada orang lain tidak perlu mengeluarkan wang ringgit. Hanya memerlukan hati yang tulus ikhlas bagi memulakannya dengan prinsip tidak membeza-bezakan orang lain.

Dalam konsep hubungan insan, terdapat konsep yang sudah dikenal pasti iaitu konsep 3P iaitu penerimaan, persetujuan dan penghargaan.

Pertama adalah penerimaan. Seseorang menyedari potensi dirinya apabila dia berada dalam satu persekitaran di mana kehadirannya diterima sepenuh jiwa iaitu secara optimum. Penerimaan daripada lingkungan persekitaran pada seseorang dapat membuat individu itu berasa dirinya berharga di tengah-tengah lingkungannya. Menerima seseorang bererti menerima individu itu seadanya tanpa syarat. Menerima orang lain bermula dengan menerima dirinya sendiri, menerima kekurangan dan kelemahannya serta kebolehannya supaya bangkit bagi meraih yang terbaik. Seseorang dapat menerima orang lain sebaik sahaja dia mampu bersahabat dengan dirinya sendiri.

Kedua ialah persetujuan. Kita sukar menerima pendapat orang lain yang berbeza dengan pendapat kita. Sekalipun berbeza, mungkin cara terbaik adalah dengan bersetuju terlebih dahulu sebelum melakukan pembaikan. Prinsip yang digunakan di sini adalah prinsip mengeluarkan air yang masuk ke dalam telinga. Bagi mengeluarkan air dari dalam telinga, terlebih dahulu masukkan air lain ke dalam telinga kemudian dikeluarkan secara bersama-sama. Keinginan untuk mengubah pendapat orang lain supaya sama dengan pendapat kita adalah dengan terlebih dahulu bersetuju dengan pendapatnya, kemudian sama-sama mengarahkannya pada waktu yang tepat dan sesuai. Tidak semua orang suka dibantah pendapatnya tetapi kebanyakan orang suka apabila pendapatnya dipersetujui terlebih dahulu.

Ketiga merupakan penghargaan. Penerimaan dan persetujuan menghasilkan hubungan insan yang kukuh apabila setiap individu dapat memberikan penghargaan yang tinggi dalam apa jua keadaan. Malahan, individu yang berniat jahat sekalipun dapat memadam rancangan jahatnya dan menjadi baik apabila dirinya menerima penghargaan. Terdapat pelbagai bentuk penghargaan yang dapat dikembangkan seperti menghulurkan senyuman, memberi pujian serta memberi sesuatu yang bererti kepada orang lain. Itulah sebabnya mengapa individu yang menghargai hidup tidak jemu membuat kebaikan.


Harga sebuah pujian yang diucapkan, berkadar langsung dengan tahap kesediaan individu mendengar ucapan yang dituturkan oleh orang lain. Secara dasarnya, setiap individu mahu kata-katanya didengari, difahami dan dihormati. Sekiranya ini dapat dilakukan maka sengketa dapat dikurangkan, penyelesaian mudah tercapai, kematangan emosi berlaku serta dapat membina masyarakat yang baik dalam hubungan sesame insan.

No comments:

Post a Comment