THANK YOU...

Terima kasih di atas kesudian anda melayari blog ini..

Wednesday, March 2, 2011

UGUTAN ATAUPUN PUJUKAN???

Kadang-kadang kritikan, ancaman dan ugutan tidak dapat menjadikan seseorang itu mudah berubah. Sebaliknya, pujukan yang lembut dan disertai dengan kata-kata pujian yang memotivasikan, membuka kesedaran seseorang melakukan  lebih daripada yang diminta.

Tidak dapat dinafikan lagi, disebabkan tekanan yang datangnya dari luar contohnya daripada pemimpin yang lebih tinggi kedudukannya, seseorang akhirnya melakukan paksaan yang disertai dengan ancaman kepada orang lain supaya melakukan sesuatu. Cara sebegini dapat menjadi benih kemunculan aniaya dan kekerasan dalam hubungan sesama insan dalam organisasi ataupun  masyarakat.

Orang lain mungkin meragui kata-kata kita, tetapi mereka percaya apabila melihat tindakan dan perbuatan kita. Mungkin cara yang lebih sesuai untuk mempengaruhi orang lain adalah dengan menunjukkan perbuatan yang seimbang bukan hanya cakap-cakap sahaja tetapi tindakan dan perbuatan kita.

Pepatah Jerman ada menyebut, Silent is Golden. Mempengaruhi orang lain tidak semestinya dengan kata-kata. Kedudukan yang tepat untuk mempengaruhi orang lain bukanlah dengan berdiri di luar orang itu tetapi kita perlu masuk ke dalam orang itu. Seseorang itu berasa sukar menerima perubahan daripada orang lain sekiranya orang itu masih berada di luar orang yang dipengaruhinya. Setiap individu mempunyai zon sendiri yang sukar dimasuki oleh orang lain.

Gambaran ilustrasi secara ringkas adalah seperti keadaan telinga dimasuki air, tidak mungkin air itu dapat dipaksa keluar dengan memiringkan kepala. Cara yang berkesan adalah dengan memasukkan dahulu air baru ke dalam telinga untuk mengajak air yang sudah berada di dalam telinga keluar bersama-sama.

Demikianlah juga dengan usaha memujuk orang lain. Ia lebih berkesan apabila kita terlebih dahulu mendekati orang itu dan berusaha memahami keadaan psikologi dan karakternya, barulah perlahan-lahan memujuknya untuk melakukan sesuatu. Orang lain rela melakukan perkara yang diminta dengan senang hati apabila dia berasa sudah difahami terlebih dahulu.

Walau apa pun alasan, apabila seseorang mahu menyampaikan pendapatnya kepada orang lain setidak-tidaknya mereka perlu memahami dan mengerti diri orang itu terlebih dahulu. Usaha untuk mempengaruhi orang lain adalah usaha bagi mengubah orang itu samada berkaitan paradigma mahupun tingkah lakunya.

No comments:

Post a Comment