THANK YOU...

Terima kasih di atas kesudian anda melayari blog ini..

Sunday, March 6, 2011

KEAGUNGAN HATI

Menangislah dengan orang yang menangis, ketawalah dengan orang yang ketawa. Ini menunjukkan sikap empati dan keagungan hati semasa berada orang lain yang sedang dirundung malang.

Keagungan hati seseorang tidak dapat diukur berdasarkan rupa bentuk, pangkat dan darjat, jumlah hartanya ataupun tahap kepopularannya. Salah satu aspek yang menunjukkan keagungan hati seseorang adalah kesanggupan dan keikhlasan untuk berada bersama-sama dengan orang yang ditimpa malang bagi berkongsi kasih sayang dan mengambil berat antara satu sama lain. Orang yang memiliki keagungan hati dapat merasakan apa yang dirasai oleh orang lain. Inilah yang dimaksudkan dengan perkataan empati. Empati berasal daripada bahasa Yunani iaitu em dan pathein yang bererti turut berasa ataupun menderita. Perkataan emphateia bererti suka dengan perasaan kasih sayang. Oleh itu, empati sebenarnya adalah usaha untuk membuka perasaan seseorang supaya semakin peka dan tajam pada keadaan sosial dan emosi orang lain.

Apabila perasaan empati kita kuat, kita memiliki keupayaan bukan hanya sekadar memahami apa yang dirasai ataupun difikirkan orang lain, malah turut mengalami perasaan yang sama seperti yang dialami individu itu. Pada tahap yang lebih tinggi, seseorang itu dapat menyelami perasaan individu lain sehinggakan benar-benar merasakan sakit dan perit seperti yang individu berkenaan.

Tidak ada seorang manusia pun terasing bagaikan pulau yang dapat memenuhi seluruh keperluan hidupnya sendiri. Setiap insan adalah sebahagian daripada sebuah benua, sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar. Semasa tanah pesisir pantai mula terhakis dek air laut, seluruh bahagian pantai yang lain ikut merasakan kesannya. Kita adalah sebahagian daripada masyarakat yang sesunggunhnya tidak mungkin dapat hidup sendiri.

Sekiranya anda mengasingkan diri daripada orang lain, tindakan itu samalah seperti menghidap penyakit barah. Seandainya anda mengasingkan diri daripada orang lain, samalah halnya dengan meninggal dunia lebih awal walaupun anda tetap menjaga kesihatan dengan bersenam ataupun berhenti merokok. Seandainya seorang individu menyampaikan empati kepada orang lain, akan ada masa dia mengalami rasa derita insan lain pula yang akan menghulurkan perasaan yang sama. Semua perbuatan yang baik dalam bentuk empati walaupun tanpa bayaran, akan berkesan untuk memberikan hiburan,  kegembiraan dan kesejahteraan.

Keagungan hati perlu di seimbangkan dengan pengetahuan yang benar mengenai apa yang dilakukan. Ketulusan hati perlu di imbangi dengan kecerdikan bukannya kelicikan. Salah satu ciri keagungan hati adalah sabar dan sikap yang bersedia untuk mengalah. Mengalah bukan bererti kalah. Mengalah menunjukkan kematangan jiwa seseorang dalam menghadapi konflik dengan orang lain. Keagungan hati tidak terletak pada yang menang atau kalah, tetapi bermuara pada kemenangan bersama. Itulah sebabnya semasa seseorang bersedia mengalah demi kepentingan orang lain, perdebatan dapat dikurangkan, pertikaian dapat dihindari.

Keagungan hati juga ternyata memiliki pengaruh dalam kepimpinan, terutama semasa kita meminta orang lain supaya dengan rela melakukan sesuatu yang sudah disepakati bersama. Dalam memahami sudut pandangan sesama insan, boleh dimulai dengan keagungan hati kita dalam menerima orang lain seadanya sebagaimana kita diterima orang lain seadanya.

No comments:

Post a Comment