THANK YOU...

Terima kasih di atas kesudian anda melayari blog ini..

Friday, March 11, 2011

SEBANYAK MANA PERHATIAN YANG KITA BERIKAN???

Suatu bentuk perhatian yang luar biasa berlaku apabila seseorang itu terpanggil bukan hanya untuk melaksanakan tugasnya tetapi benar-benar menjadi pelayan kepada sesama manusia.

Andai kita ditanya, siapakah yang paling banyak meninggalkan kesan dalam hidup dan memberi banyak perhatian serta sokongan dalam menjalani kehidupan ini? Pasti setiap insan dapat menyebutkannya satu persatu. Demikianlah besarnya pengaruh perhatian yang diberikan seseorang hingga meninggalkan kesan bertahun-tahun lamanya. Sewajarnya setiap manusia memberi nilai tambah melayani sesama insan menerusi bidang kerja masing-masing. Sedikit senyuman dan sepatah sapaan sudah cukup menceriakan hidup dalam perhubungan dengan orang lain.

Meluangkan masa beberapa minit untuk berbual-bual dengan orang lain akan memberi persepsi hidup yang lebih baik buat orang berkenaan. Dengan perhatian sedemikian, individu itu tidak akan berasa bersendirian dalam melalui kemelut hidup ini.

Petikan kata-kata Mother Teresa, “Berilah kasih sayang walau ke mana sahaja anda pergi. Pertama di rumah anda sendiri. Berikan kasih sayang kepada kepada anak-anak, isteri ataupun suami anda dan kepada jiran tetangga di sebelah rumah. Jangan biarkan seorang pun berlalu tanpa berasa lebih baik dan lebih gembira. Tunjukkan kebaikan Tuhan menerusi wajah anda, mata anda sedang memandang, bibir anda dengan tersenyum hangat dan memberi ucapan salam”.

Memberikan kasih sayang dan perhatian kepada sesama insan tidak perlu mengeluarkan belanja yang mahal. Ia melalui kesungguhan hati dan kesanggupan untuk berdepan dengan karenah manusia. Perhatian yang diberikan serta kasih sayang yang ditebarkan tidak pula menjamin seseorang itu kaya secara material. Namun, dalam masa yang singkat dia akan menerima kekayaan hati seperti rasa gembira, limpahan rasa syukur dan fikiran yang tenang.

Tony Buzan di dalam bukunya yang bertajuk The Power of Spiritual Intelligence berkata, kemurahan hati seperti memberi perhatian dan kasih sayang kepada orang lain dan rasa syukur, lahir daripada rasa belas kasihan Tuhan. Rasa syukur adalah kesempatan anda menarik nafas dan menerima tenaga hidup. Kemurahan hati adalah kesempatan anda menghembuskan nafas dan mengembalikannya ke persekitaran.

William Wordsworth berkata, “Bahagian terbaik daripada kehidupan orang baik adalah tindakannya yang sederhana, tanpa mengharapkan balasan dan yang dilupakan orang dalam kebaikan dan kasih sayang.

No comments:

Post a Comment