THANK YOU...

Terima kasih di atas kesudian anda melayari blog ini..

Monday, March 21, 2011

MENGULANGI KESILAPAN

Salah satu perkara yang menyebabkan seseorang itu sering terperangkap dalam situasi yang sama berulang kali adalah kerana tidak pernah mahu mengakui kesilapan yang pernah dilakukannya. Menyedari dan mengakui kesilapan pada masa lalu menyebabkan kehidupan individu itu lebih baik.

Pepatah ada menyebut “pisang tidak akan berbuah dua kali”, ini jelas menunjukkan manusia diharapkan agar tidak melakukan kesalahan yang sama bagi kali kedua. Memang benar, melakukan kesalahan yang sama buat kali kedua dikatakan dungu, tidak menilai diri dan cenderung menunjukkan kelalaiannya dalam melaksanakan sesuatu perkara. Namun, kita dapat memastikan supaya kesilapan yang sama tidak berulang lagi pada masa depan dengan belajar daripada kesilapan yang lalu.

Vernon Sanders berkata, “pengalaman adalah guru yang sukar kerana ia memberi ujian terlebih dahulu sebelum memberi pengajaran”. Jadi, bagaimana kita dapat mempelajari makna kehidupan sekiranya kita menolak pengajaran yang sedang disediakan oleh kehidupan itu sendiri? Kebenaran akan terbit seperti matahari di waktu pagi samada cepat ataupun lambat. Sebaliknya, semua yang tidak benar itu akan terkuak juga akhirnya. Apabila kebenaran tersingkap dan tidak dapat ditutup lagi ia akan bermuara dalam keadaan yang memilukan dan memalukan. Jadi, mengapa kita perlu menutup kebenaran itu?

Mereka yang sentiasa menutup kesalahan adalah mereka yang tidak memiliki ketenangan hati. Orang yang sudah melakukan kesalahan, walaupun ia kelihatan benar pasti debaran dan getaran hati nuraninya tidak berakhir dan terus dikejar oleh bayang-bayang sendiri. William Ward berkata, ada tiga musuh ketenangan peribadi iaitu, “penyesalan atas kesilapan semalam, kecemasan pada masalah esok dan tiada rasa syukur atas anugerah hari ini”.

1 comment:

  1. Inilah rencah kehidupan yang tidak boleh lari dari sebarang ujian. Pelbagai ujian yang telah kita hadapi, sama ada kuat mahupun tidak itulah yang perlu kita harungi.

    ReplyDelete