THANK YOU...

Terima kasih di atas kesudian anda melayari blog ini..

Wednesday, March 9, 2011

CUKUPKAH APA YANG KITA MILIKI???

Salah satu sifat semulajadi manusia adalah tidak pernah puas dan tidak pernah berasa cukup. Semakin rendah kadar spiritualnya, semakin dia tidak berasa cukup. Orang yang memiliki kadar spiritual yang rendah memiliki kehendak yang tinggi dalam usaha mengumpul harta dunia. Di mana letaknya harta itu, di situlah hatinya terpaut dan di sanalah dia berada. Petikan kata-kata Bruce Larson “Orang yang terus mengumpulkan harta hanya untuk kehidupan di dunia ini dan tidak memikirkan masa depan apalagi melabur untuk terus kekal, ibarat menjaring angin dan bodoh selama-lamanya”.

Rasa tidak puas dan sering berasa tidak cukup apalagi didorong keinginan yang kuat bagi mendapatkan sesuatu dengan segera, kadang-kadang menyebabkannya mengambil tindakan terburu-buru tanpa membuat pertimbangan moral dengan teliti. Semua perkara memerlukan proses yang tekal dengan menilai daripada aspek moral dalam usaha mengumpul harta sedikit demi sedikit baik harta kekayaan untuk digunakan bagi tujuan kebahagiaan keluarga mahupun untuk berkongsi dengan orang lain.

Seorang ahli falsafah pernah memberi anekdot mengenai sikap seorang pekerja. Sewaktu si pekerja itu baru diterima bekerja pertanyaannya adalah, “Hari ini kita makan apa?”. Selepas dia dilantik sebagai pekerja tetap pertanyaannya berkembang kepada, “Hari ini kita makan di mana?”. Apabila dia sudah menjawat jawatan penting pertanyaannya pun berkembang lagi, “Hari ini kita makan dengan siapa?”.

Satu definisi yang menyentuh hati mengenai perkataan cukup ini adalah semasa “Tangan terangkat ke atas dan kepala tengadah kepada Tuhan lalu mengucapkan syukur”. Inilah erti cukup yang sebenar-benarnya.

Melakukan pelaburan bagi masa depan tidaklah salah. Tetapi, bagaimana kekayaan itu diperolehi perlu menjadi fokus utama. Sekiranya kita memperolehi kekayaan itu dengan muslihat dan tipu daya, harta itu akan habis begitu saja. Selepas memiliki harta, lebih baik kita berkongsi dengan memberi kesempatan kepada orang lain bergembira dengan apa yang kita miliki.

Tidak hairanlah apabila kita amati senario kehidupan yang melanda masyarakat hari ini. Mereka yang memiliki harta yang banyak tetapi sukar untuk menderma harta yang dimilikinya di lihat menjadi murung, takut, berasa was-was dan tidak ceria dengan harta yang dimilikinya. Namun, mereka yang menganggap apa yang dimilikinya ketika ini adalah pemberian Tuhan, terdorong berkongsi kasih sayang dan memberi hingga hidupnya kelihatan tenang, aman dan bahagia.

Charles Akara membahagikan manusia kepada tiga kelompok. Pertama ‘Si Bodoh’ yang mendakap erat semua harta miliknya dan bimbang sebarang perubahan yang berlaku. Kedua ‘Si Pandai’ yang belajar kepastian dan menyesuaikan diri dengan perubahan, sentiasa bersedia untuk berubah setiap detik. Ketiga ‘Si Arif’ yang menghargai nilai ketidakpastian, menerima kepastian tanpa berubah kerana baginya memiliki sesuatu sama sahaja dengan tidak memiliki.

Ramai orang kebiasaannya melihat sesuatu kejayaan dari sudut luaran. Kejayaan atau popularnya seseorang diukur daripada jumlah banyaknya harta yang terkumpul. Padahal semua itu tidak penting kerana kejayaan sebenar diukur sejauh mana kita dapat memanfaatkan setiap potensi yang dimiliki untuk berkongsi dengan orang lain.

No comments:

Post a Comment