THANK YOU...

Terima kasih di atas kesudian anda melayari blog ini..

Friday, February 18, 2011

MATAHARI VS ANGIN

Ada sebuah kisah dari Timur Tengah yang mengisahkan persengketaan antara matahari dan angin. Matahari dan angin sering berasa diri mereka yang paling berpengaruh ke atas makhluk ciptaan Tuhan yang lain. Ibarat perang dingin antara dua kekuatan yang tidak kunjung padam, matahari dan angin sering berbalah dan menunjuk-nunjuk antara satu sama lain. Melihat keadaan yang semakin parah, maka datanglah bulan untuk cuba menyelesaikan masalah mereka. Oleh kerana masing-masing mahu menang, maka dijalankan satu pertandingan antara matahari dan angin. Mereka bertaruh sesiapa yang dapat mempengaruhi seorang musafir di bawah sana membuka pakaiannya akan dikira sebagai pemenang. Seterusnya, yang kalah akan dibuang daerah dan perlu pergi jauh dari sana dengan segera.

Pada hari pertandingan dijalankan, undian dilakukan terlebih dahulu bagi menentukan giliran. Angin mendapat giliran pertama. Seorang musafir kebetulan sedang berteduh dekat dengan sebuah oasis. Angin mula beraksi untuk memenangi pertandingan dengan cuba mempengaruhi musafir supaya membuka bajunya. Semasa angin bertiup, musafir itu menyilangkan tangan ke badannya. Angin bertiup lebih kuat, tetapi musafir itu semakin merapatkan pakaiannya. Dengan rasa kesal, angin meniupkan badai. Musafir itu semakin membongkok dan menarik selimut dari untanya dan berlindung di sebalik pakaian dan selimutnya. Angin gagal mempengaruhi musafir berkenaan untuk membuka bajunya.


Tibalah pula giliran matahari. Dengan tersenyum, perlahan-lahan matahari meningkatkan kekuatan sinarnya dan bumi terasa semakin hangat. Musafir itu kelihatan mula mengipas-ngipas dirinya. Semakin panas sinar matahari, semakin rimas dirasakan oleh musafir itu. Dia pun mula membuka butang bajunya satu per satu sambil matanya melirik ke sebuah lubuk untuk berendam. Tidak lama kemudian, seiring dengan teriknya sinar matahari, musafir itu membuka pakaiannya kecuali pakaian dalam. Akhirnya, musafir itu terjun ke dalam lubuk untuk mencari kedinginan.

Dengan senyuman, matahari berkata kepada angin “Perlu ada teknik memujuk bagi mempengaruhi orang lain, bukan dengan paksaan”. Dengan perasaan malu, angin akhirnya akur dengan kekalahannya dan pergi meninggalkan matahari.

No comments:

Post a Comment