THANK YOU...

Terima kasih di atas kesudian anda melayari blog ini..

Wednesday, March 20, 2013

Nabi Muhammad SAW Contoh Ikutan Sepanjang Zaman



Nyatakanlah andai ada individu yang lebih hebat darinya?
Suasana yang terang benderang disulami hembusan udara nyaman
Bunga menguntum harum serta tumbuhan hidup penuh kesegaran
Orang Rom dan Parsi kepanikan terpadamnya api sembahan
Burung bersiulan dengan riang penuh gembira menyambutnya kelahiran
Membawa rahmat untuk makhluk sekalian alam sepanjang zaman

Jelaskanlah jika ada individu yang lebih baik darinya?
Lembut tutur katanya mampu menyejukkan dada siapa sahaja
Sentuhan kasihnya mampu dirasa bahkan oleh kafir derhaka
Senyuman manis terukir indah dibibirnya tak pernah sirna
Tawadhuk sabar syukur ikhlas dan sentiasa berlapang dada
Sifat dermawannya tidak pernah takut kefakiran datang mendera

Buktikanlah kalau ada individu yang lebih sempurna darinya?
Semua makna kebaikan dan kebahagiaan tersulam pada dirinya
Seluruh erti kebajikan dan kebenaran terhias pada manhajnya
Rasulullah SAW mengingati Allah di setiap waktu dan ketika
Berkorban dengan apa saja bahkan darah dan air mata
Memberi syafaat hingga selamat umatnya dari seksa neraka

Tiada perkataan terungkap selain memohon kemaafanmu Ya Rasulullah!
Kerana masih banyak ajaranmu yang belum lagi terlaksana
Kerana akhlak dan pekertimu belum dipraktikkan setiap masa
Kerana syariat perjuanganmu tidak mampu kami teruskan sewajarnya
Kerana mengaku mencintaimu tetapi tiada bukti sebagai tanda
Kerana adanya didikanmu tetapi kami gagal menjernihkan jiwa
Kerana adanya sunnahmu tetapi masih bergelumang dengan dosa
Kerana adanya Al-Quran tinggalanmu tetapi hanyut dilautan dunia
Kerana menjadi umatmu tetapi terlalu jauh dari sempurna

Hanya terima kasih yang terucap untukmu Ya Rasulullah!
Atas limpahan rahmat dan kilauan cahaya dimuka bumi
Atas kasih dan sayangmu yang melimpah untuk kami
Atas setiap titisan keringatmu yang berjuang demi kami
Atas seluruh penat lelah dan pengorbananmu untuk kami
Atas segenap ajaranmu tentang erti kehidupan untuk kami
Atas semua doa indahmu yang sering mendoakan kami
Atas ketulusan ribuan istighfar permohonanan ampunmu untuk kami
Atas sujud panjangmu untuk meminta syafaat buat kami

Nabi Muhammad SAW adalah contoh ikutan terbaik sepanjang zaman
Menyeru seluruh umat manusia agar Allah SWT sentiasa ditauhidkan
Menyuruh melakukan kebaikan dan melarang dari melakukan kemungkaran
Mengajar manusia berinteraksi penuh berhikmah tanpa ada keegoan
Walaupun 12 Rabiulawal Tahun 11 Hijrah terpahat sebagai tarikh kewafatan
Rasulullah SAW terus kekal menjadi contoh ikutan dan teladan
Kerana Nabi Muhammad SAW merupakan Rasul yang terakhir diutuskan
Mewariskan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW sebagai sumber panduan
Menjadi rujukan sempurna seluruh umat manusia yang beriman
Kerana pastinya hanya syurga Allah SWT yang menjadi impian

1 comment:

  1. Penyertaan pertandingan penulisan kreatif sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat UMS 1434H/2013M..

    ReplyDelete