Jika aku terlupa…
Ingatkanlah aku untuk sentiasa bekerja keras
Agar terlaksana tanggungjawab yang digalas
Tanpa mengabaikannya walaupun hanya seulas
Kalau aku terlupa…
Sedarkanlah aku untuk sentiasa bekerja cerdas
Agar hasil dan perancangan sentiasa selaras
Tanpa membiarkannya sampai jauh terbabas
Sekiranya aku terlupa…
Ingatkanlah aku untuk sentiasa bekerja ikhlas
Agar jasa dan bakti sentiasa bertunas
Tanpa merelakannya diselubungi perasaan was-was
Agaknya aku terlupa…
Memimpin pekerti membersihkan wadah
Agar sikap dan perilaku positif menjadi tujuan terarah
Bukannya membuat kerja suka main belasah
Rasanya aku terlupa…
Memimpin pekerti membesarkan wadah
Agar sikap dan perilaku produktif menjadi tujuan terarah
Bukannya mencari kerja yang paling mudah
Mungkin aku terlupa…
Memimpin pekerti mengharumkan wadah
Agar sikap dan perilaku kontributif menjadi tujuan terarah
Bukannya menghasil kerja untuk tunjuk gagah
Andai aku terlupa…
Tegurlah aku untuk mentransformasikan fikiran
Bimbinglah aku untuk membina keyakinan
Pimpinlah aku untuk menuju kejayaan
Agar kita mampu jalan seiringan
Dalam usaha SST menuju bulan menggapai wawasan.
No comments:
Post a Comment