THANK YOU...

Terima kasih di atas kesudian anda melayari blog ini..

Thursday, February 23, 2012

Nabi Muhammad SAW Rahmatan Lil-‘Alamin


12 Rabiulawal Tahun Gajah tarikh keramat Rasulullah SAW dilahirkan
Burung bersiulan udara nyaman terpadamnya api sembahan
Antara keanehan yang berlaku untuk menyambut kelahiran
Nabi junjungan Muhammmad SAW sebagai Nabi akhir zaman

Hajarul Aswad asalnya dari Syurga putih berkilauan
Menjadi perselisihan antara kabilah siapa berhak meletakkan
Dengan kebijaksanaan dan keadilan Nabi Muhammad SAW memutuskan
Perselisihan terlerai hanya dengan hamparan sehelai serban

Pembinaan Masjid Nabawi di Madinah selepas penghijrahan
Sebagai inisiatif utama membentuk ummah simbol perpaduan
Menjadi pusat ibadat juga medan dakwah digandakan
Tempat perhimpunan mengadakan perbincangan dan pusat pentadbiran

Kaum Aus dan Khazraj akhirnya dapat dipersaudarakan
Setelah sekian lama asyik berperang dan bermusuhan
Peralihan semangat assabiyah kepada ukhuwah akhirnya diterapkan
Keimanan dan ketakwaan menjadi keutamaan bukannya keturunan

Persaudaraan golongan Muhajirin dan Ansar teras penyatuan
Pelbagai bantuan telah diberikan tanpa mengharapkan keuntungan
Sehingga tidak wujud jurang antara dua golongan
Membentuk ikatan kukuh dan Islam terus diperjuangkan

Piagam Madinah dipersetujui masyarakat dari setiap lapisan
Perlembagaan yang dirangka adalah untuk menjamin kesejahteraan
Menyatupadukan masyarakat majmuk dengan menguatkan ikatan persefahaman
Menyayangi dan menghormati bumi Madinah tanpa kezaliman

Nabi Muhammad SAW Rahmatan Lil-‘Alamin
Menyeru seluruh umat manusia agar Allah SWT ditauhidkan
Menyuruh melakukan kebaikan dan melarang melakukan kemungkaran
Mengajar manusia berinteraksi penuh berhikmah tanpa keegoan
Walaupun 12 Rabiulawal Tahun 11 Hijrah adalah tarikh kewafatan
Rasulullah SAW terus menjadi contoh ikutan dan teladan
Kerana Nabi Muhammad SAW merupakan Rasul terakhir diutuskan
Mewariskan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan
Sumber rujukan seluruh umat manusia yang beriman
Kerana pastinya keredhaan Allah SWT sentiasa menjadi dambaan

Tuesday, October 11, 2011

REDHAKU MENEMANI PEMERGIANMU BERTEMU ILAHI


Kehadiranmu adalah satu anugerah yang tidak ternilai harganya
Namun hadirmu cuma sementara datang hanya sekejap saja
Dalam keterbatasan ruang dan waktu yang kita ada
Bersama melakarkan pelbagai cerita dalam kehidupan dunia fana
Mencoretkan pelbagai rasa yang menguntum mekar penuh bahagia
Titisan kasihmu menyelinap masuk memenuhi seluruh ruang rongga
Bahang cintamu menusuk jauh hingga menyelubungi dasar jiwa
Simpulan sayangmu merantai rapi setiap penjuru pada anggota

Keutuhan pegangan agama yang tulus telah engkau pamerkan
Membuatkan aku tertunduk bisu menginsafi tentang kekerdilan insan
Kesempurnaan akhlak mulia yang luhur telah engkau sajikan
Membuatkan aku terbaring kaku muhasabah diri segala kekurangan
Kini engkau telah pergi menunaikan janji kepada Tuhan
Mengapa aku harus bersedih menangisi dan meratapi pemergian
Sedangkan aku yakin engkau telah melaksanakan segala suruhan
Menuju alam yang kekal bersama iman juga amalan

Walaupun jasadmu telah bersemadi untuk mengakhiri episod duniawi
Doaku panjatkan memohon limpahan rahmatNya agar rohmu dicucuri
Redhaku sentiasa menemani pemergianmu untuk bertemu dengan Ilahi
Kita tidak akan mampu untuk memungkiri setiap janji
Kerana ikhtiar dan perbuatan hanya cara menyampaikan diri
Selebihnya hanya Allah S.W.T sahaja yang Maha Mengetahui
Segalanya telah tercatat dalam Luh Mahfuz sejak azali
Semoga kita akan bersama lagi di Syurga yang abadi


Dedikasi khas buat insan yang di sayangi hamba Allah S.W.T yang bernama Siti Suzana Bt Mohd Suzaidi yang telah pergi meninggalkan duniawi..

AL-FATIHAH


AMIN