THANK YOU...

Terima kasih di atas kesudian anda melayari blog ini..

Wednesday, April 13, 2011

HARGA DIRI

Walaupun harga diri merupakan satu istilah yang sering digunakan, ramai orang tidak mengetahui pengertiannya yang sebenar. Sesetengah orang percaya bahawa harga diri tinggi melibatkan perasaan tinggi diri dan kesempurnaan. Sebahagian pula percaya kepopularan dan kekayaan kebendaan dapat menjamin harga diri seseorang. Kebanyakan pakar umumnya bersetuju bahawa harga diri ialah penilaian keseluruhan diri seseorang sama ada secara positif atau negatif. Harga diri ialah perasaan menyeluruh seseorang tentang keterampilan diri dan nilai diri. Keterampilan diri ialah keyakinan diri dan kepercayaan bahawa seseorang itu berupaya menghadapi cabaran utama kehidupan. Nilai diri pula ialah menerima diri anda tanpa syarat dan mempunyai perasaan layak untuk hidup serta mencapai kebahagiaan.

Orang yang mempunyai harga diri tinggi umumnya yakin akan diri mereka, terarah kendiri, tegas, ghairah mengemukakan idea, penyayang dan mudah disayangi, asertif serta dapat bergaul dengan mesra. Mereka juga menerima diri mereka tanpa syarat, tahan akan kekecewaan dengan baik dan rela mengambil risiko terhitung. Orang yang mempunyai harga diri tinggi mengakui kelemahan mereka dan sentiasa berusaha setakat yang boleh untuk memajukan diri. Menurut Morris Rosenberg, “Orang yang tinggi harga dirinya cenderung untuk bebas daripada keangkuhan atau rasa benci akan orang lain atau menunjukkan dengan jelas tingkah laku lain yang kita kaitkan dengan idea tinggi diri”.

Orang yang mempunyai harga diri rendah umumnya adalah pemalu, pesimistik, takut mengambil risiko, tidak asertif, tidak tegas, berasa tidak mudah disayangi, kurang penerimaan diri dan bersifat toksik dalam perhubungan dengan orang lain. Oleh sebab benci diri, orang yang rendah harga diri lazimnya suka menyindir, berasa geram akan pencapaian tinggi orang lain dan tidak mungkin dapat melihat kebaikan orang lain. Sesetengah daripada tanda harga diri rendah yang dapat diukur ialah melalui bukti verbal, bercakap besar berlebihan, jarang menentang mata orang lain, sentiasa mengharapkan persetujuan orang lain, enggan melahirkan idea, depresi kronik dan mudah dipengaruhi oleh orang lain.

Harga diri yang tulen adalah berlandaskan realiti. Ia tidak boleh dicapai dengan hanya menyebutkan perangsang harga diri atau pengesahan tertentu. Seseorang tidak boleh memperoleh harga diri tulen dengan hanya menyebutkan setiap hari “Saya adalah seorang yang istimewa” atau menjadi ahli kumpulan tertentu dengan harapan memperkukuhkan perasaan nilai diri.

Harga diri tulen sebenarnya diperkukuh menerusi penilaian diri yang realistik dan tepat, pencapaian yang bermakna, kejayaan mengatasi rintangan dan mempraktikkan amalan tertentu seperti bertanggungjawab 100% ke atas kehidupan serta tindakan diri sendiri dan mengekalkan integriti yang dapat mencetuskan perasaan keterampilan dan nilai diri. Ironinya, harga diri tulen adalah berteraskan pandangan realistik seseorang tentang diri sendiri dan bukannya khayalan atau pujian yang tidak wajar.

Harga diri yang tidak berlandaskan realiti ditakrifkan oleh Nathaniel Branden sebagai harga diri pseudo – berpura-pura  mempunyai perasaan keyakinan diri dan hormat diri. Seperti dinyatakan oleh Branden, harga diri pseudo adalah satu muslihat tidak rasional serta bersifat melindungi diri yang bertujuan menyusutkan kerisauan dan memberi perasaan selamat yang palsu. Orang sering kali berusaha memperoleh harga diri pseudo menerusi kepopularan, prestij, kekayaan kebendaan dan lain-lain lagi.

Friday, April 8, 2011

KUALITI PERIBADI

Kualiti peribadi adalah tahap setakat mana seseorang individu menzahirkan atribut-atribut peribadi yang positif, mengamalkan perhubungan manusia yang baik dan memaparkan prestasi kerja yang cemerlang.

Variabel terpenting dalam persamaan kualiti peribadi ialah orang. Pencipta utama produk dan perkhidmatan berkualiti ialah orang bukannya teknologi atau prosedur kualiti yang formal. Orang mengurus proses dan menyebabkan sistem beroperasi, proses tidak melaksanakan kerja tetapi orang yang melaksanakan kerja. Ringkasnya kualiti ialah pernyataan kecermalangan manusia.

Kualiti bermula dengan individu. Namun demikian, kajian menunjukkan bahawa 50% daripada pekerja tidak berusaha lebih dari apa yang diperlukan untuk mengekalkan kerja mereka dan 84% daripada pekerja mengakui bahawa mereka boleh mempertingkatkan prestasi kerja jika mereka mahu. Ini menunjukkan bahawa orang perlu mempunyai kuasa dalaman untuk mendorong mereka menghasilkan kerja berkualiti.

Kualiti peribadi adalah tunjang kualiti organisasi. Kualiti peribadi mendorong rantaian tindak balas bagi penambahbaikan kualiti dalam sesebuah organisasi. Pertambahan aras kualiti peribadi menghasilkan peningkatan aras kualiti jabatan dan organisasi. Seterusnya, pertambahan aras kualiti organisasi menyebabkan penghasilan produk dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi. Rantaian tindak balas ini akhirnya menghasilkan kepuasan pelanggan, peningkatan produktiviti, keuntungan yang lebih besar dan budaya kerja yang positif.

Pada peringkat individu, kualiti peribadi yang tinggi membawa kepada prestasi kerja yang cemerlang, perhubungan interpersonal yang mesra dan kepuasan kerja yang tinggi. Atribut kualiti peribadi yang paling penting ialah harga diri yang mengoptimumkan personaliti dan keupayaan seseorang. Menurut John Gilmore, “ciri paling ketara yang membezakan individu yang amat produktif daripada individu lain ialah harga diri”.