THANK YOU...

Terima kasih di atas kesudian anda melayari blog ini..

Tuesday, March 1, 2011

PESTA ANGGUR

Seorang raja di salah sebuah kota mahu mengadakan pesta keraian bersama rakyat jelata. Sebagai bukti perpaduan, setiap keluarga diminta membawa sebotol air anggur bagi dituangkan ke dalam satu tong besar. Selepas itu, air anggur yang terkumpul itu akan dapat dinikmati bersama-sama. Satu demi satu keluarga menuang sebotol air yang dibawa ke dalam tong besar yang telah disediakan.

Selepas semuanya terkumpul, raja pun mula bertitah mengenai tujuan diadakan pesta itu yang juga merupakan satu majlis kesyukuran atas hasil tuaian yang baru sahaja diperolehi. Air anggur yang terkumpul ini adalah simbol perpaduan, iaitu dalam apa jua pun keadaan rakyat jelata perlu tetap bersama dan bersatu hati. Sebagai tanda majlis dirasmikan, raja dan pembesarnya pun mengambil segelas air anggur yang sudah dikumpulkan dalam tong besar tersebut. Raja dan pembesarnya berasa hairan kerana air anggur itu hambar rasanya serta agak masin. Raja murka dan mahu mengetahui siapakah yang merosakkan majlis itu dengan mencampurkan air lain selain air anggur ke dalam tong besar berkenaan.

Kumpulan penyiasat akhirnya menemui satu fenomena di mana rakyat jelata berfikir, “sekiranya aku masukkan sebotol air biasa ke dalam tong besar itu, ia pasti tidak akan mengubah apa-apa rasa kerana tong itu besar. Apalah salahnya sekiranya aku masukkan sedikit air biasa ke dalam tong itu?”. Rupa-rupanya bukan hanya seorang sahaja yang berfikiran sedemikian. Hampir kesemua rakyat jelata yang membawa botol air pun berfikiran yang serupa dan tong besar itu pun akhirnya dipenuhi dengan pelbagai campuran air.

OCCUPATION OR PROFESSION OR VACATION???

Bekerja adalah sebahagian daripada kegiatan hidup yang bukan sahaja menghasilkan nafkah yang cukup bagi memenuhi keperluan hidup, tetapi juga untuk menikmati kehidupan, membina hubungan dengan orang lain dan membuat dinamik hidup lebih berwarna-warni serta kualiti perkembangan diri bertambah ke arah yang lebih baik. Bekerja terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu occupation, profession dan vacation.

Occupation bermaksud seseorang bekerja hanya bagi menghabiskan waktu untuk memperolehi sejumlah wang sebagai upah. Baginya tidak penting sama ada dia dinaikkan pangkat, mengembangkan kerjayanya ataupun menerima penghargaan lain. Pekerja jenis begini hanya mementingkan gaji bulanan diterima secara tetap sudah memadai. Pekerjana sebegini tidak menghiraukan nasib organisasi dan kerjayanya. Apa yang penting baginya adalah bagaimana nasibnya di dalam organisasi berkenaan? Adakah bulan depan masih boleh menerima gaji? Mereka yang bekerja pada tahap ini hanya bekerja sebagai amalan dan takut sekiranya ada sebarang program penambahbaikan kualiti kerja yang mungkin menyebabkannya di buang kerja.

Pekerja yang masuk ke tahap profession agak berbeza. Mereka tidak hanya bekerja untuk menunaikan kewajipan dan tugas harian tetapi juga berfikir bagaimana untuk meningkatkan kualiti tugas dan tanggungjawabnya. Mereka yang masuk ke dalam tahap ini terus menimba ilmu pengetahuan dan melakukan kerja dengan sebaik mungkin  supaya hari ini adalah lebih baik daripada semalam. Baginya tidak ada waktu terbuang, bahkan apabila kerjanya selesai dia bersedia membantu menyelesaikan kerja orang lain pula. Mereka yang berada pada tahap ini menjadi contoh teladan dalam organisasinya.

Tahap yang paling tinggi dalam bekerja adalah vacation. Mereka yang sampai ke tahap ini sudah tidak lagi terlalu mementingkan apa yang akan mereka perolehi tetapi lebih kepada apa yang dapat mereka berikan kepada organisasi dan orang lain. Malah, dia rela melepaskan kedudukan dan kerjayanya saat ini demi kepentingan orang ramai. Bagi mereka melakukan sesuatu bukanlah di sebabkan oleh pekerjaan itu sendiri tetapi sudah menjadi satu tabiat dan amalan diri.